KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Pendidikan (KPM), untuk tidak berkompromi dengan budaya samseng, buli dan gangsterisme di institusi pendidikan masing-masing.
Menegaskan perkara itu, Anwar berkata isu berkenaan perlu dilihat dengan lebih serius kerana tiada maknanya keterampilan dan kepimpinan tanpa nilai, adab dan akhlak yang murni.
“Budaya samseng, buli, gangsterisme yang berlaku dalam sistem pendidikan sama ada di sekolah Cina, sekolah Tamil, maahad tahfiz, sekolah agama...ini satu kegilaan kerana kita bicara soal ilmu, tapi tiada akhlak dan nilai.
“Ini cabaran kita dalam program pendidikan, nilai dan akhlak perlu ditekankan, kelemahan kita kerana kita mengambil sikap mengalah, toleran terhadap buli, ini tidak akan berlaku jika budaya menolaknya,” katanya berucap pada program Temu Anwar di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Naib Canselor UPNM Lt Jen Datuk Mardzuki Muhammad.
Perdana Menteri memberikan contoh misalnya pemimpin dunia yang dianggap korup bukanlah tiada pendidikan dan kemahiran, tetapi rendah akal budi dan nilainya.
“Ini yang temasuk saya katakan sistemik dalam semua bidang, termasuk apa yang dibicarakan dalam bidang ketenteraan, cara beli senjata, cara tender, cara rundingan, cara komisen, ini semua ada kaitan dengan nilai dan akhlak,” katanya.
Beliau berkata mana-mana negara pun tidak boleh meremehkan soal persiapan yang cukup dalam aspek ketenteraan, yang bukan sahaja membabitkan latihan, kecekalan, keterampilan, kepintaran, pemikiran strategik dan kelengkapan, tapi turut meliputi soal disiplin dan nilai.
“Sebab itu soal disiplin di universiti lain itu penting, tapi ‘maha penting’ di universiti ini (UPNM),” katanya.
Perdana Menteri turut menasihatkan penuntut UPNM, yang disifatkan sebagai khazanah negara untuk terus menjadi harapan pimpinan dan rakyat serta negara, dalam menjamin pertahanan dan keselamatan negara, dengan melengkapan diri dengan kepintaran ilmu.
“Jangan pandang ringan amanah ini, tidak ramai yang punyai tanggungjawab sedemikian, menimbalah ilmu sebaik mungkin, latih diri dengan kecekalan dan akhlak yang baik bagi memikul amanah besar ini,” katanya.
Semalam, Angkatan Tentera Malaysia dalam kenyataan memaklumkan sedang menyiasat kes buli dan dera membabitkan seorang pegawai kadet di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), UPNM, yang dibuli seniornya menggunakan seterika ditekap di bahagian dada, sehingga meninggalkan kesan lecur seperti yang tular menerusi media sosial.
Menurut kenyataan itu, kes berkenaan sedang disiasat pada peringkat ALK–UPNM.
Sementara itu Anwar ketika diminta mengulas isu tersebut berkata kes berkenaan sedang disiasat polis, namun secara umum berharap agar guru besar, pengetua, pengetua kolej serta naib canselor, bertanggungjawab menghentikan isu buli di institusi masing-masing.
“Terlalu banyak aduan, yang dapat (aduan) itu bila kebetulan terbongkar di media sosial, ini harus dihentikan, naya anak-anak,” katanya.