BALING: Program MADANI Rakyat (PMR) Kedah berakhir hari ini setelah mencatatkan jumlah kehadiran sebanyak 127,535 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya.
Sebanyak 29,560 pengunjung hadir pada hari pertama program yang berlangsung di Kompleks Sukan Majlis Daerah Baling pada Khamis lepas.
Hari kedua menyaksikan peningkatan ketara dengan kehadiran 41,954 pengunjung manakala hari terakhir mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 56,021 pengunjung.
Program bertemakan ‘Rakyat Prihatin, Negara Aman, Masa Depan Terjamin’ ini menawarkan pelbagai aktiviti menarik kepada pengunjung.
Adam Raismaini Mahadir, 15, menyatakan kekagumannya terhadap pameran kelengkapan Polis Diraja Malaysia di reruai Kementerian Dalam Negeri.
“Ini kali pertama saya berpeluang melihat dan memegang sendiri senjata api sebenar yang dipamerkan di sini, mulanya saya sangka ia palsu,“ katanya.
Mohd Azri Iskandar Abdul Muiz, 15, pula berkata dia datang bersama rombongan sekolah untuk menyaksikan pelbagai pameran menarik.
“Banyak ilmu dan pengalaman baharu saya dapat, harapan saya agar ada lagi program seperti ini untuk penduduk di kawasan pedalaman seperti ini,“ ujarnya.
Pelbagai program menarik ditawarkan termasuk reruai perkhidmatan kerajaan Persekutuan dan negeri serta Jualan Rahmah MADANI.
Pengunjung juga berpeluang mendapatkan Jualan Agro MADANI, diskaun saman trafik polis, dan perkhidmatan kesihatan percuma.
Program ini turut menawarkan tawaran peluang pekerjaan serta program pertukaran topi keledar secara percuma.
Pelbagai jenis benih pokok, pertukaran minyak enjin motosikal, dan perkhidmatan gunting rambut percuma turut disediakan untuk pengunjung.
Program ini membuktikan komitmen kerajaan untuk membawa perkhidmatan terus kepada rakyat melalui pendekatan lebih dekat dan mesra.
Majlis penutupan program disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tengah hari tadi.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor turut hadir dalam majlis penutupan tersebut. – Bernama