KUALA LUMPUR: Polis belum menerima sebarang laporan berkaitan dakwaan data kad pengenalan atau MyKad milik rakyat negara ini dijual menerusi ‘dark web’ atau laman web tertutup, kata Timbalan Pengarah (Siasatan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Rohaimi Md Isa.
Beliau berkata siasatan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia JSJK Bukit Aman setakat ini tidak menemukan sebarang bukti berhubung dakwaan itu.
“Pihak JSJK akan terus melakukan pemantauan bagi menentukan kesahihan maklumat itu. Siasatan sewajarnya akan dilaksanakan bersama-sama agensi lain yang berkaitan sekiranya laporan polis berkenaan isu itu diterima kelak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini menegaskan pemeriksaan rapi yang dilakukan agensi keselamatan termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berhubung dakwaan itu mendapati ia tidak benar sama sekali.
Beliau turut memberi jaminan bahawa keselamatan data terutama MyKad milik seluruh rakyat Malaysia adalah terjamin dan sentiasa berada dalam keadaan selamat.
Sebelum ini seorang pengguna laman X mendakwa data MyKad milik rakyat Malaysia bocor dan dijual melalui laman web tertutup, malah sampel MyKad didakwa telah dikongsi secara terbuka di laman web berkenaan.