SHAH ALAM: Polis Selangor mengesahkan telah membuka kertas inkuiri bagi mengenal pasti kesalahan jenayah berhubung program motivasi rumah tangga eHATI yang didakwa melibatkan aktiviti tidak bermoral.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata beberapa saksi akan dipanggil bagi mendapatkan pengesahan, termasuk melibatkan penggunaan air yang didakwa boleh mengkhayalkan.
“Setakat ini maklumat hanya diperoleh daripada pihak ketiga dan polis akan memanggil mana-mana individu yang terlibat bagi membuktikan sama ada wujudnya kesalahan jenayah atau sebaliknya,“ katanya.
Hussein menambah bahawa polis akan bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi mendapatkan fakta penting berkaitan dakwaan tersebut.
Siasatan juga akan melihat sama ada terdapat kesalahan di bawah Kanun Keseksaan.
Sementara itu, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari meminta JAIS menyiasat dakwaan aktiviti tidak bermoral semasa program motivasi rumah tangga itu diadakan di sebuah pusat konvensyen.
Pengarah JAIS Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 7 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 berkaitan doktrin palsu, kerana disyaki berlaku upacara bertentangan hukum syarak. – Bernama