• 2025-09-01 02:23 PM

IPOH: Polis sedang menjejaki dua suspek yang disyaki terlibat dalam kejadian letupan di sebuah premis perniagaan di Panorama Lapangan Perdana di sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata dalam kejadian pada 4.58 pagi itu, dua lelaki menaiki sebuah motosikal dipercayai meletakkan satu objek dipercayai bahan letupan di hadapan premis terbabit sebelum beredar.

“Letupan itu menyebabkan kerosakan pada pintu roller shutter dan lantai hadapan premis namun tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.

“Sebuah kedai bersebelahan turut mengalami kerosakan kecil pada papan tanda dan dinding,“ katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abang Zainal berkata pengadu, seorang wanita tempatan berusia 43 tahun dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh jirannya selepas meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

“Pemeriksaan awal oleh Unit Siasatan Pasca Letupan (PBI) dan Unit Persenjataan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak mengesahkan letupan berpunca daripada penggunaan bahan letupan jenis berkuasa rendah (pyrotechnic flash bang grenade stun).

“Bahan letupan ini bukan bertujuan mencederakan atau membunuh sebaliknya digunakan untuk menakut-nakutkan dan menyebabkan kerosakan,“ katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api atau bahan letupan dan Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957.

Polis turut meminta kerjasama orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu tampil menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau terus kepada Pegawai Penyiasat Insp Mohamad Al Hakim Al Balkhis di talian 011-1125 6246 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di talian 05-2451500. – Bernama