KLANG: Pasukan Polis Marin (PPM) merekodkan nilai rampasan kira-kira RM216 juta bagi tempoh Januari hingga November tahun ini, kata Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman Datuk Seri Azmi Abu Kassim.
Beliau berkata kejayaan itu membabitkan 7,756 kes jenayah maritim termasuk penyeludupan kontraban seperti dadah, barangan kawalan, migran serta pencerobohan sempadan.
“Hal ini membuktikan PPM antara elemen penting dalam penugasan kepolisan dengan maklumat yang dijana atau disampaikan berjaya menghasilkan pelbagai kejayaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Kita yakin lebih banyak kejayaan seperti ini akan ditempa pada tahun mendatang,“ katanya pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Komander PPM di Markas Operasi PPM Wilayah Satu di sini hari ini.
SAC Shamsol Kassim dilantik sebagai Komander PPM menggantikan SAC Norzaid Muhammad Said yang akan bersara wajib bermula esok setelah berkhidmat hampir 39 tahun.
Dalam perkembangan sama, Azmi berharap kekuatan aset PPM dapat ditingkatkan bagi menambah kecekapan pasukan keselamatan itu dalam mengekang aktiviti jenayah berikutan kepesatan teknologi ketika ini.
“Berdasarkan kepada teknologi terkini dengan kecerdasan buatan (AI) dan sebagainya ia akan sedikit membantutkan usaha kita dan kekurangan itu setakat ini kita kekang menerusi latihan yang berterusan.
“... namun kita tidak mungkin mampu untuk terus berada dalam keadaan ini kerana dengan dunia tanpa sempadan serta teknologi terkini, kita akan ketinggalan jika keupayaan dan kecekapan kita tidak bergerak seiring peredaran teknologi,“ katanya.
Dalam pada itu, Azmi yang baru selesai melawat kawasan sempadan Malaysia-Thailand di Sungai Golok, Kelantan berkata penguatkuasaan yang dilakukan menghasilkan impak positif dengan penurunan ketara penggunaan pengkalan haram bagi tujuan rentas sempadan.
Beliau berkata kesiapsiagaan anggota keselamatan akan terus dikekalkan pada tahap tertinggi dengan beberapa operasi sedang dirancang bagi mempertingkatkan lagi tindakan penguatkuasaan di kawasan berkenaan.
“Berdasarkan pemerhatian, memang ada pengurangan dengan kita dapati aktiviti keluar masuk tanpa sekatan tidak lagi berlaku umpama pesta namun, kita tetap berwaspada dan ambil tindakan bersesuaian dari semasa ke semasa,“ katanya.