MELAKA: Polis Melaka berjaya menumpaskan satu sindiket penipuan yang menawarkan kerja sambilan dalam talian palsu selepas menahan tiga lelaki warga China dalam satu operasi di Taman Pandan Malim. Serbuan itu dilakukan pada Isnin lalu oleh pasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar, berkata suspek berusia antara 32 hingga 38 tahun itu dipercayai terlibat dalam kegiatan penipuan sejak Mac tahun ini. “Mangsa yang disasarkan adalah warga China. Kami juga merampas satu komputer riba dan tiga telefon bimbit,“ katanya.
Menurut Dzulkhairi, suspek tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah. Mereka direman selama empat hari bermula 8 Julai bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Beliau mengingatkan orang ramai agar berhati-hati dengan tawaran kerja dalam talian yang menjanjikan pendapatan tinggi dalam masa singkat. - Bernama