MELAKA: Polis memanggil dua wanita dan seorang remaja lelaki bagi membantu siasatan berhubung penularan rakaman video mengenai perbualan berkaitan penyalahgunaan dadah.

Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata wanita berusia 18 tahun dan remaja lelaki,17, yang masing-masing berasal dari Batu Berendam dan Jasin itu, dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah pada 6 petang semalam.

Beliau berkata seorang lagi wanita berusia 18 tahun yang tinggal di Jalan Dato Senu, Kuala Lumpur dipanggil memberi keterangan di IPD Sentul pada 9.55 malam tadi.

“Pada Selasa lepas, video berdurasi 52 saat yang memaparkan perbualan sekumpulan individu berkaitan penyalahgunaan dadah tular di media sosial

“Siasatan polis mendapati perbualan itu dibuat pada Isnin (19 Ogos) secara berkumpulan secara dalam talian dengan menggunakan platform TikTok,“ katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Zainol berkata susulan itu, ketiga-tiga individu terbabit dipanggil memberi keterangan dan dilepas serta dibebaskan tanpa syarat selepas siasatan mendapati mereka melakukan perbualan berkenaan setelah menonton filem memaparkan adegan berkaitan penyalahgunaan dadah serta hanya sekadar gurauan bersama rakan-rakan.

Beliau berkata semakan rekod mendapati ketiga-tiga individu terbabit bebas daripada sebarang rekod jenayah, dan negatif ujian air kencing.

Bagaimanapun, kes berkenaan dirujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) untuk tindakan lanjut.