SEREMBAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johol Datuk Saiful Yazan Sulaiman dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) selepas dilaporkan tidak sedarkan diri akibat serangan jantung petang semalam.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata kejadian itu berlaku ketika Saiful Yazan dalam perjalanan untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya dimaklumkan hari ini bahawa Saiful Yazan kini berada dalam keadaan stabil dan mula memberi tindak balas.

“Datuk Saiful Yazan kini berada dalam keadaan stabil, sudah mula sedar tetapi masih memerlukan pemantauan rapi di wad rawatan jantung (CCU) di IJN. Semalam saya dan beberapa pemimpin UMNO ada melawat beliau di IJN tetapi ketika itu beliau tidak sedarkan diri lagi.

“Namun tadi kami dimaklumkan oleh isterinya Datin Shaliza Idris, keadaannya semakin stabil, sama-samalah kita berdoa semoga dia kembali sihat,“ katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu itu berkata Saiful Yazan sebelum ini diketahui tidak pernah menghidap apa-apa penyakit dan semalam adalah kejadian pertama dia mengalami serangan jantung.

Beliau berkata pada masa ini ahli keluarga tidak membenarkannya menerima sebarang pelawat bagi memastikan beliau mendapat rehat yang mencukupi sebelum kembali berada dalam keadaan benar-benar sihat.

Saiful Yazan yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Kuala Pilah merupakan ADUN Johol sejak 2018 selepas memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan tahun lepas.