TANGKAK: Polis percaya kejadian seorang lelaki yang dipercayai membunuh isterinya di Bukit Gambir di sini dua hari lepas, berpunca daripada masalah keluarga.
Ketua Polis Daerah Tangkak Supt Roslan Mohd Talib berkata berkata suspek pada mulanya diberkas polis pagi semalam berhubung kejadian bakar beberapa kenderaan di kediaman ibu mentuanya di Kampung Pengkalan Kota Durian Chondong.
Beliau berkata bagaimanapun ketika soal siasat suspek yang menunjukkan perangai seperti orang yang kebingungan memberitahu bahawa isterinya telah tiada, dan pasukan polis terus ke kediaman suspek untuk menyiasat.
“Hasil pemeriksaan polis menemukan mayat seorang wanita di ruang tamu ditutupi dengan selimut, selain terdapat pisau berhampiran mayat itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
“Berdasarkan siasatan awal suspek didapati mempunyai rekod kesalahan lampau di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat pada tahun 2017 di Putrajaya dan telah dijatuhi hukuman denda RM1,800,” katanya dan menambah suspek kini direman selama tujuh hari bermula hari ini.
Sementara itu ibu mangsa berkata pada malam kejadian, lelaki itu yang telah berkahwin dengan anaknya selama kira-kira tiga tahun, datang ke rumahnya yang terletak kira-kira 40 kilometer, untuk membakar rumah serta kenderaannya, namun api berjaya dipadamkan sebelum ia merebak.
“Malam tu dia datang bakar kereta, bakar motor. Kalau lambat bangun, satu keluarga makcik, anak cucu mak cik dah mati,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di kampung Pengkalan Kota Durian Chondong di sini hari ini.
Beliau berkata suspek memang sudah lama tidak bertegur sapa dengannya, malah tidak membenarkan isterinya untuk berjumpa dengan keluarga sendiri.
Difahamkan mangsa berusia 34 tahun itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pengkalan Kota, Tangkak, selepas proses bedah siasat selesai.
Sementara itu seorang rakan baik mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Qilah, 34, berkata kali terakhir beliau berjumpa dengan arwah adalah sebelum bulan puasa di majlis kenduri.
“Kami selepas itu hanya berhubung secara Whatsapp dan saya sendiri memang hendak sangat jumpa dengannya tetapi banyak kekangan. Bila jumpa dalam keadaan macam ini, memang sakit sangat, rasa terkilan jumpa dalam keadaan macam ini,“ katanya.
Beliau yang ditemui pemberita di perkarangan lobi Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka di sini berkata tahun lepas arwah kehilangan seorang anak apabila bayinya meninggal disebabkan kelahiran pra matang.
Qilah berkata sepanjang persahabatan mereka sejak tingkatan satu yang sama-sama belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Sri Lanang, Tangkak, arwah memang dikenali sebagai seorang yang pemurah.
“Memang arwah suka sedekah, beri derma dan jika saya atau rakan ada masalah, dia pasti tolong tanpa banyak soalan,“ kata suri rumah itu.
Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki disyaki mengelar wanita hingga mati dalam kejadian di Bukit Gambir, Tangkak dua hari lepas, dan suspek yang berusia 30-an itu juga cuba membakar rumah ibu mentuanya di Lenga, Pagoh, Muar.
Suspek kini direman selama tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api.