SEPANG: Polis telah merakam keterangan lima lagi individu menjadikan keseluruhan 95 individu, berhubung kes program motivasi rumah tangga eHATI, setakat ini.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata mereka terdiri daripada pekerja program motivasi tersebut, petugas pusat konvensyen tempat acara itu diadakan dan peserta program.
“Mereka hanya dipanggil untuk dirakam keterangan,“ katanya pada sidang media di sini hari ini.
Ditanya jika polis sudah mendapat hasil keputusan air ‘piya’ (air campuran koko) yang dikaitkan dengan program itu, Shazeli berkata pihaknya masih menunggu laporan daripada Jabatan Kimia.
Pada 16 Julai lepas, polis mengesahkan wujud aktiviti kelucahan melibatkan perlakuan bogel oleh peserta dalam sebuah program motivasi rumah tangga di sebuah pusat konvensyen di Shah Alam, Selangor, pada tahun lepas.
Dalam perkembangan berasingan, Shazeli berkata kes pecah rumah yang membabitkan saksi utama kes rasuah bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng, adalah kes jenayah.
Beliau berkata tiada bukti yang mengaitkan kes jenayah itu dengan kes perbicaraan yang sedang berlangsung.
“Berdasarkan siasatan, ugutan diterima mangsa ialah ‘jangan buat bising’, ‘duduk diam-diam’ dan lebih kepada percakapan suspek. Banyak kes begitu agar suspek mendapat kerjasama mangsa,“ katanya.
Beliau berkata polis telah merakam keterangan 16 saksi, dan setakat ini tiada sebarang tangkapan dibuat dan kes masih dalam siasatan.
Pada Rabu lepas, media melaporkan seorang saksi utama dalam perbicaraan kes rasuah membabitkan Lim, diserang sekumpulan 10 lelaki yang menceroboh rumahnya.
Lim, yang juga penasihat DAP sedang berdepan beberapa pertuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen berhubung Projek Terowong Dasar Laut Pulau Pinang - BERNAMA