SIBU: Polis merampas dadah pelbagai jenis seberat lebih 1.5 kilogram (kg) dianggar bernilai RM86,051 selepas menahan seorang penganggur di Jalan Pedada, di sini Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata lelaki berusia 41 tahun itu ditahan ketika memandu kereta kira-kira 1.35 tengah hari.

“Hasil pemeriksaan menemukan 34 peket plastik berisi ketulan kristal dianggar seberat 139.07 gram (g) disyaki Methamphetamine dan 150 biji pil disyaki Eramin 5 dianggar seberat 41.78g,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata soal siasat terhadap lelaki itu, polis menyerbu sebuah rumah di Jalan Tuah di sini dan menjumpai 439 peket plastik berisi ketulan kristal keseluruhannya dianggar seberat 1.5 kg disyaki Methamphetamine.

Turut ditemukan di rumah itu, katanya 13 peket plastik berisi hablur kristal disyaki ketamin dianggar seberat 73.71g dan 600 biji pil disyaki Eramin 5 dianggar seberat 167.34g.

Zulkipli berkata pihaknya turut menyita sebuah kereta jenis Honda Accord dianggar bernilai RM15,000 dan wang tunai RM6,600 disyaki hasil aktiviti penjualan dadah.

Beliau berkata siasatan mempercayai lelaki berkenaan terlibat dalam penjualan dadah di bandar ini dengan menerima penghantaran bungkusan melalui perkhidmatan kurier.

“Lelaki itu yang tidak memiliki rekod jenayah namun positif terhadap dadah kini direman hingga Rabu ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.