• 2025-07-03 06:11 PM

KUCHING: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya merampas barangan bernilai lebih RM10 juta dalam operasi bersepadu membanteras aktiviti penyeludupan dan pengedaran rokok serta minuman keras tanpa kastam di sekitar Kuching, Sarawak.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim, berkata operasi itu melibatkan dua serbuan serentak di stor dan premis penyimpanan kontraban.

“Operasi menahan tiga lelaki termasuk seorang warga Indonesia berusia 30 hingga 64 tahun dan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM10,500,028,“ katanya dalam kenyataan.

Operasi Op Taring Alpha 1 dan Op Taring Alpha 2 itu dilaksanakan JKDNKA menerusi risikan utama Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Bukit Aman dengan kerjasama Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak.

Serbuan pertama merampas 648 liter minuman keras, 90,000 batang rokok putih pelbagai jenama, 51,200 batang rokok kretek, serta sebuah telefon bimbit.

Manakala serbuan kedua melibatkan 4.19 juta batang rokok putih, 24,320 batang rokok kretek, sebuah van, dan telefon bimbit.

Siasatan kes itu dijalankan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Azmi berkata dari 1 Januari hingga 2 Julai, WCB/PSK JKDNKA Bukit Aman telah melaksanakan 155 serbuan di seluruh negara melibatkan 236 tangkapan dengan nilai rampasan mencecah RM443.85 juta.

Beliau menggesa orang ramai untuk bekerjasama dengan memberikan maklumat bagi membanteras aktiviti penyeludupan dan penjualan barangan tidak berkastam. – Bernama