• 2025-09-02 08:41 PM

KOTA KINABALU: Polis menahan tiga lelaki tempatan dan merampas 41.63 kilogram dadah jenis syabu bernilai lebih RM1.3 juta dalam dua serbuan di Ranau dan Telupid pada 28 Ogos.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata serbuan pertama di sebuah stesen minyak di Jalan Ranau Poring pada 8.15 pagi menemui 20 bungkusan plastik dipercayai mengandungi dadah dalam sebuah kenderaan.

Pemeriksaan lanjut mendapati bungkusan dalam bagasi hitam itu mengandungi 21.3 kg syabu bernilai RM681,600 dengan seorang lelaki berusia 31 tahun turut ditahan.

Serbuan seterusnya dilakukan ke atas sebuah kenderaan di pekarangan masjid di Telupid pada 9.20 pagi dan menemui bagasi mengandungi 20 bungkusan plastik berisi 20.33 kg syabu bernilai RM650,560.

Dua lelaki berusia 21 dan 24 tahun turut ditahan dalam serbuan berkenaan.

Siasatan awal mendapati ketiga-tiga lelaki berperanan sebagai penghantar kepada pembekal dadah untuk membawa bahan terlarang dari Kota Kinabalu ke pantai timur Sabah.

Mereka mengaku terlibat sejak awal Februari lepas dan dadah dibawa masuk dari Semenanjung melalui perkhidmatan kurier.

Seorang daripada suspek mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.

Ketiga-tiga lelaki itu direman hingga 5 September dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Semua dadah yang dirampas dalam dua serbuan berkenaan boleh digunakan kira-kira 160,000 penagih. – Bernama