KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan menerima laporan daripada lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) yang mendakwa dipukul pengawal peribadi seorang kenamaan di lobi sebuah hotel di sini semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata pihaknya telah membuka siasatan kes itu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

“Setakat ini belum ada tangkapan dan keterangan pengadu akan diambil dalam masa terdekat susulan dia OKU bisu dan masalah pendengaran,“ katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Difahamkan, seorang pemandu e-panggilan membuat laporan polis selepas mendakwa dipukul pengawal peribadi ketika menunggu penumpang di sebuah hotel di Brickfields, semalam.

Pemandu berusia 46 tahun itu mendakwa ditumbuk di kepala dan diminta untuk mengalihkan kenderaannya dari lobi hotel berkenaan.

Pemandu itu menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur.