KUALA LUMPUR: Sebanyak 110 individu termasuk sebilangan besar warga asing ditahan dalam operasi bersepadu di sembilan premis hiburan dan tujuh hotel sekitar Jalan Changkat, Bukit Bintang, di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata kesemua yang berusia lingkungan 23 hingga 57 tahun itu ditahan menerusi operasi selama empat jam bermula 2 pagi.

“Operasi berkenaan disertai 254 pegawai dan anggota polis, Jabatan Imigresen (JIM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) yang bertujuan membanteras kegiatan persundalan di pusat hiburan.

“Polis memandang serius kegiatan persundalan dan tidak akan berkompromi serta akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak atau premis yang melanggar peraturan atau syarat bagi membanteras aktiviti tidak bermoral ini,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata dalam operasi itu, polis menahan 41 individu termasuk 23 lelaki dan 12 wanita warga asing atas pelbagai kesalahan termasuk berkaitan aktiviti persundalan di bawah Seksyen 373B Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1) Akta Hiburan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1992 serta kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

JIM menahan 36 orang atas pelbagai kesalahan antaranya melanggar syarat pas atau permit dikeluarkan, menggunakan dokumen perjalanan palsu serta menggaji warga asing tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

“JAWI pula menahan 33 individu atas kesalahan seperti berkelakuan tidak sopan di tempat awam dan minum minuman memabukkan mengikut Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 manakala DBKL mengeluarkan lima notis kompaun serta tiga Notis Pemberitahuan Tentang Kesalahan (NPTK) dan penutupan premis di bawah Akta Hotel (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2003,“ katanya.