Polis serbu makmal proses dadah di Manjung

IPOH: Sindiket pengedaran dadah di Manjung tumpas selepas polis menyerbu sebuah rumah dipercayai dijadikan makmal memproses dan membungkus bahan terlarang itu, pada Selasa lepas.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata empat lelaki tempatan ditahan bersama 14.9 kilogram heroin dianggarkan bernilai RM199,727 termasuk peralatan memproses dadah dalam operasi berkenaan.

“Sindiket terbabit dikatakan bergiat aktif memproses dadah sejak Mac lepas sebelum kegiatan mereka berjaya dihidu pihak berkuasa.

“Serbuan yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman jam 1.30 petang itu telah menahan empat lelaki tempatan berusia antara 23 hingga 52 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Yusri berkata susulan penahanan empat suspek terbabit, polis berjaya menahan seorang lagi suspek berusia 25 tahun di Pokok Assam, Taiping yang dipercayai turut terlibat dalam kegiatan sama.

“Ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek negatif dari sebarang jenis dadah dan hasil semakan mendapati empat daripada lima suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

“Polis turut merampas sebuah kenderaan dan kesemua nilai rampasan dadah bersama harta yang disita berjumlah RM239,727. Menerusi tangkapan ini, kita berjaya menumpaskan satu sindiket memproses dadah,” katanya.

Menurutnya, kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula 24 hingga 30 Mei ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - Bernama

Kredit foto: Facebook/Polis Perak

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image