BUKIT MERTAJAM: Polis sedang menjalankan siasatan berhubung insiden letupan di Taman Serumpun di sini awal pagi tadi yang menyebabkan kerosakan pada tiga buah rumah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Helmi Aris berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung kejadian pada 1.05 pagi, memaklumkan terdengar satu bunyi letupan kuat di kawasan perumahan terbabit.

“Siasatan polis mendapati letupan dipercayai berpunca daripada mercun dibaling ke dalam sebuah rumah dan impak letupan itu telah menyebabkan dua rumah bersebelahan turut mengalami kerosakan.

“Kejadian telah menyebabkan ketiga-tiga rumah rosak pada bahagian siling dan halaman rumah. Turut mengalami kerosakan kenderaan di dua rumah,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Helmi berkata berdasarkan siasatan awal pihaknya tidak menolak kemungkinan insiden disebabkan oleh masalah hutang dan perbuatan itu disyaki dilakukan oleh dua lelaki menaiki sebuah kereta namun siasatan lanjut masih dijalankan.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957 dan saksi awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPT bagi membantu siasatan atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat Kanan ASP Assan Alimudin di talian 012-4418081.