KUALA LUMPUR: Malaysia sekali lagi mencipta nama di pentas sains antarabangsa apabila tiga saintis muda tempatan terpilih menghadiri Mesyuarat Nobel Laureate Lindau ke-74 di Jerman, yang dijadual berlangsung dari 29 Jun hingga 4 Julai ini.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa mesyuarat tahun ini yang memfokuskan bidang kimia bakal menghimpunkan kira-kira 35 penerima Hadiah Nobel dan lebih 600 saintis muda dari 84 negara.

Malaysia akan diwakili oleh tiga individu, iaitu pelajar Ijazah Kedoktoran (PhD) dalam bidang Sains Gunaan (Kimia Gunaan) dari Universiti Teknologi Petronas Nur Diyan Mohd Ridzuan, 30, Pensyarah Kanan di Bahagian Teknologi Bioproses, Pusat Pengajian Teknologi Industri, Universiti Sains Malaysia Dr Ana Masara Ahmad Mokhtar, 34, serta Pensyarah di Jabatan Kimia Farmaseutikal, Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU) Dr Mak Kit Kay, 33.

Menurut kenyataan itu, Mesyuarat Nobel Laureate Lindau yang diasaskan pada 1951 bertujuan menggalakkan dialog merentas generasi, disiplin sains dan budaya. Setiap tahun, mesyuarat ini memberi tumpuan kepada satu bidang sains secara bergilir-gilir.

Menurut MOSTI, mesyuarat itu juga berperanan sebagai platform unik bagi saintis muda untuk berinteraksi dengan penerima Hadiah Nobel melalui aktiviti syarahan, perbincangan panel dan sesi santai.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang dalam kenyataan sama menyifatkan penyertaan itu sebagai bukti keupayaan bakat tempatan bersaing di pentas antarabangsa serta selaras komitmen MOSTI dalam mmebangunkan generasi saintis masa depan melalui pelaburan jangka panjang dalam pembangunan bakat Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

“Kami percaya interaksi dengan pemikir dan penerima Hadiah Nobel akan memperluas horizon para penyelidik muda negara dan memberi inspirasi kepada lebih ramai belia untuk menyertai bidang sains, teknologi dan inovasi,” katanya.

Sementara itu, Presiden Akademi Sains Malaysia (ASM), Datuk Dr Tengku Mohd Azzman Shariffadeen Tengku Ibrahim berkata saintis muda negara turut berpeluang memperkenalkan hasil penyelidikan dan kepakaran mereka, sekali gus membuka peluang kerjasama dengan saintis di fasiliti bertaraf dunia.

Program selama seminggu itu merangkumi syarahan oleh penerima Hadiah Nobel, sesi perbincangan interaktif Agora, serta perbincangan panel yang menyentuh isu-isu global. Ia turut membuka ruang untuk para peserta menjalin jaringan penyelidikan dan membina hubungan kolaboratif bersama rakan serta mentor dari seluruh dunia.

Sejak 2004, ASM, sebagai badan pencalon rasmi telah mengenal pasti dan mencalonkan saintis berpotensi setiap tahun untuk dinilai oleh Panel Semakan Saintifik Mesyuarat Nobel Laureate Lindau dan hingga kini, seramai 89 saintis Malaysia telah dipilih untuk menyertai mesyuarat tersebu