• 2025-09-02 05:00 PM

KUANTAN: Polis menahan 41 lelaki tempatan dan merampas pelbagai jenis senjata api tiruan atau air soft gun dianggarkan bernilai lebih RM100,000 menerusi Op Laras di Padang Hangus, Gebeng pada Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Ashari Abu Samah berkata suspek berusia antara 21 hingga 66 tahun terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk pesara tentera, penjawat awam serta golongan profesional seperti jurutera dan doktor fisioterapi.

Beliau menyatakan kumpulan itu merancang mengadakan aktiviti permainan perang menggunakan senjata api tiruan berkenaan di kawasan tanah rizab Tentera Laut Diraja Malaysia yang belum dibangunkan.

Polis merampas 406 barangan termasuk 65 laras senapang, 32 pistol angin, 130 kelopak peluru, 28 jaket kalis peluru, 40 helmet, gogal dan topeng celoreng.

Operasi bersepadu itu dilaksanakan Bahagian D9 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang dengan kerjasama unit khas TLDM Kuantan.

Ashari berkata suspek mempunyai kumpulan WhatsApp bagi merancang aktiviti tersebut dengan senjata dipercayai dibeli melalui aplikasi dalam talian pada harga antara RM4,000 hingga RM6,000 seunit.

Senjata dirampas dihantar untuk pemeriksaan bagi menentukan sama ada boleh digunakan dan dipasang peluru sebenar.

Beliau menegaskan aktiviti seperti itu boleh menimbulkan keresahan awam selain berpotensi disalahgunakan bagi tujuan jenayah.

Semua suspek direman hingga Khamis bagi siasatan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 kerana memiliki senjata api tiruan tanpa lesen atau permit sah.

Kesalahan tersebut memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – Bernama