SEREMBAN: Polis menahan seorang anggota tentera selepas didakwa menggunakan kekerasan terhadap seorang pemandu wanita sehingga mendatangkan kecederaan akibat kemalangan di Jalan Persiaran Senawang 4, dekat Taipan, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seremban Mohamad Hatta Che Din berkata suspek lelaki berusia 35 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban petang tadi untuk siasatan mengikut Seksyen 323 dan 427 Kanun Keseksaan.
“Suspek dikatakan menggunakan kekerasan terhadap mangsa yang berusia 28 tahun sehingga menyebabkan lebam di bahagian rusuk sebelah kanan dan bengkak di bahagian belakang kepala.
“Kejadian berlaku apabila mangsa, yang memandu kereta Perodua Axia dalam perjalanan dari Mydin Senawang ke Senawang, tidak sempat mengelak ketika isteri suspek berusia 34 tahun dan anak perempuannya berusia tujuh tahun tiba-tiba melintas dari arah kiri ke kanan jalan kira-kira pukul 10.15 malam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata akibat pelanggaran itu, wanita berkenaan dan anaknya mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar di sini untuk rawatan lanjut dan kes disiasat mengikut Kaedah 10, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.
Terdahulu, satu video berdurasi 22 saat tular di aplikasi TikTok, memaparkan seorang lelaki bertindak menumbuk seorang wanita selepas dia dipercayai tidak sempat mengelak lalu melanggar seorang wanita dan seorang kanak-kanak perempuan.
Dalam pada itu, Mohamad Hatta meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian itu kerana ia boleh mencetuskan ketegangan.
Beliau turut meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai kes itu untuk menghubungi pegawai penyiasat, Insp. Mohd Khairul Aswad Mazlan di talian 011-10843873 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.