• 2025-09-17 08:02 PM

TEMERLOH: Polis menahan lapan lelaki daripada kumpulan “Geng Musang” dan “Geng Jep Gambang” yang disyaki terlibat dalam mencuri serta membeli kabel projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dengan anggaran kerugian melebihi RM825,000.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman menyatakan mereka yang berusia antara 29 hingga 45 tahun ditahan menerusi serbuan di daerah Temerloh, Kuantan dan Bentong dari 10 hingga 14 September.

Enam daripada mereka dipercayai mencuri kabel manakala dua lagi merupakan pekerja dan pemilik kedai barang lusuh yang membeli komponen berkenaan.

Yahaya berkata polis merampas komponen projek dianggarkan seberat hampir satu tan dengan panjang hampir lima kilometer termasuk beberapa gelung kabel tembaga dan 18 batang kabel yang telah dipotong.

Semua kabel ditemui di kedai barang lusuh di Kuala Lumpur, di belakang sebuah rumah dan kawasan hutan di Temerloh.

“Siasatan mendapati kabel itu dijual pada harga lebih RM25 sekilogram,“ katanya semasa sidang media di Balai Polis Lanchang.

Lima daripada yang ditahan disahkan positif methamphetamine selain terdapat suspek yang mempunyai rekod lampau jenayah dan dadah.

Siasatan terhadap enam suspek dijalankan mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 431A Kanun Keseksaan manakala dua lagi di bawah Seksyen 411 kanun sama.

Yahaya berkata polis kini memburu tiga lelaki termasuk dua warga Kemboja ahli “Geng Musang” serta seorang lelaki tempatan “Geng Jep Gambang” bagi membantu siasatan.

Polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan untuk tampil membantu.

Yahaya turut menyatakan pihaknya telah meminta pihak ECRL meningkatkan kawalan keselamatan di sepanjang 258 kilometer jajaran projek yang melibatkan pembinaan tujuh stesen di Pahang.

China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCCECRL) sebelum ini memaklumkan kabel sepanjang 1,080 meter di jajaran Temerloh dan Lanchang serta 599 meter di jajaran Lanchang dan Bentong dicuri dalam tempoh hanya dua minggu.

Kecurian berpotensi menjejaskan jadual penyiapan projek ECRL yang sedang dilaksanakan. – Bernama