KUANTAN: Seorang lelaki berusia 51 tahun ditahan polis kerana disyaki mengganggu seekor penyu yang sedang bertelur di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu, Cherating.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan Supt Mohd Adli Mat Daud berkata suspek ditahan kira-kira pukul 1 tengah hari dan sedang mengesan dua lagi rakan yang terlibat.
“Suspek juga didapati positif dadah,“ katanya dalam kenyataan hari ini.
Kejadian dipercayai berlaku sekitar pukul 7 pagi semalam dan dirakam oleh beberapa pelancong.
Rakaman menunjukkan tiga lelaki mengangkat seekor penyu dan membawanya ke lokasi lubang bertelur yang telah digali.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai bertindak sedemikian bagi mempercepatkan proses penyu bertelur dengan tujuan mengambil telur penyu untuk dijual atau digunakan secara haram,“ kata Mohd Adli.
Setelah perbuatan mereka disedari dan ditegur oleh pengunjung, suspek melepaskan semula penyu tersebut ke laut.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 27 Akta Perikanan 1985 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM5,000 bagi kesalahan menangkap, mengganggu, atau mengambil penyu tanpa kebenaran.
Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar Negeri Pahang turut melarang pemilikan telur penyu tanpa permit sah.
Mohd Adli menyeru orang ramai supaya tidak melakukan sebarang aktiviti yang boleh mengancam kelangsungan hidup penyu dan melaporkan sebarang kejadian mencurigakan kepada pihak berkuasa. – Bernama