PUTRAJAYA: Polis menahan seorang lelaki warga asing dan merampas dompet serta telefon bimbit milik mangsa yang mendakwa disamun dan dirogol oleh individu tersebut di sebuah kondominium di Cyberjaya, semalam.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata tangkapan itu dilakukan pihak polis selepas menerima aduan daripada seorang wanita tempatan berusia 71 tahun pada 12.18 tengah malam semalam.

Beliau berkata lelaki berusia lingkungan 25 tahun yang bekerja di sebuah restoran itu akan direman esok di Mahkamah Majistret Sepang.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 376/392 Kanun Keseksaan iaitu jenayah rogol dan samun,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak lebih daripada 20 tahun serta hukuman sebat manakala kesalahan samun boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 14 tahun, denda atau sebatan.

Semalam, tular di aplikasi X melibatkan seorang wanita warga emas yang menjadi mangsa samun dan rogol ketika sedang menunggu lif di lobi sebuah kondominium yang dipercayai didiaminya di Cyberjaya.