ALOR SETAR: Polis menahan tujuh warga Myanmar termasuk dua wanita kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan diri yang sah, selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas semasa cuba melarikan diri di Jitra, Selasa lepas.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Supt Mohd Redzuan Salleh berkata petugas Unit Kereta Peronda (MPV) di sini yang sedang membuat rondaan pada mulanya terserempak dengan sebuah kereta jenis Chery dipandu dalam keadaan mencurigakan di kawasan susur keluar Malau, Lebuhraya Bukit Kayu Hitam-Jitra.
Beliau berkata ketika dihampiri, pemandu kereta itu yang merupakan seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun, bertindak memecut kenderaan berkenaan hingga sejauh kira-kira dua kilometer, sebelum ia terbabas ke bahu jalan menghala ke Asun, Jitra.
“Pemandu yang mempunyai dua rekod jenayah lampau itu cuba melarikan diri tetapi berjaya ditahan. Hasil pemeriksaan di dalam kereta telah menjumpai lima lelaki dan dua wanita warga Myanmar berusia 26 hingga 43 tahun yang tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata siasatan dijalankan di bawah Seksyen 16A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.