KANGAR: Polis menahan seorang tukang kebun yang disyaki terlibat dalam kes ragut melibatkan mangsa seorang wanita berusia 49 tahun di tempat letak kereta Pasar Pagi Medan Mahkota, di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kangar ACP Yusharifuddin Mohd Yusop berkata dalam kejadian kira-kira 8.30 pagi itu, suspek lelaki berumur 37 tahun telah menyerang dan melarikan beg silang milik mangsa yang ketika itu berada di tepi tandas awam di kawasan berkenaan.
“Orang awam yang menyedari kejadian itu bertindak menahan suspek sebelum dua anggota polis unit ronda bermotosikal tiba di lokasi dan membuat tangkapan ... wanita yang bekerja sebagai pengurus jualan itu mengalami luka pada kedua-dua lututnya dalam kejadian ini,“ katanya dalam kenyataan hari ini.
Yusharifuddin berkata hasil siasatan awal, lelaki itu dipercayai meragut beg mangsa kerana terdesak memerlukan wang, dengan tangkapan itu turut membawa kepada rampasan termasuk sebilah pisau, telefon bimbit, dompet dan wang tunai dipercayai milik mangsa, iaitu RM1,000, USD250 serta 10,570 Baht.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan suspek berkenaan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kangar esok bagi permohonan reman.