• 2025-09-08 06:12 PM

MELAKA: Polis menumpaskan dua sindiket penipuan dalam talian didalangi 18 warga asing dan seorang warga tempatan yang menyasarkan Melaka sebagai hab pusat panggilan aktiviti penipuan itu, melibatkan rampasan keseluruhan bernilai RM575,000.

Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata kedua-dua sindiket itu yang ditahan dalam Op Merpati pada 2 dan 3 Sept lepas, menyasarkan mangsa warganegara asing, iaitu Indonesia dan China dengan tawaran khidmat seks serta jualan telefon bimbit, motosikal dan kereta.

Beliau berkata sindiket penipuan dalam talian yang menawarkan khidmat seks kepada warga China melalui aplikasi Telegram melibatkan penahanan sebanyak 12 individu membabitkan seorang lelaki tempatan, sembilan lelaki warga China dan dua warga Filipina di dua premis berasingan di Ayer Keroh dan Banda Hilir pada 3 Sept.

“Tangkapan pertama melibatkan lapan individu di sebuah taman perumahan mewah di Ayer Keroh kira-kira 1.30 tengah hari sebelum empat lagi ahli sindiket sama ditahan di sebuah rumah di Banda Hilir.

“Siasatan awal mendapati sindiket terbabit telah beroperasi selama tiga bulan dengan modus operandi mengiklankan perkhidmatan seks tidak wujud kepada warga China melalui aplikasi Telegram dan mangsa yang berminat perlu membuat bayaran ke akaun bank di Kemboja secara dalam talian sebelum nombor telefon mangsa disekat,“ katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini hari ini.

Beliau berkata kesemua warga asing terbabit juga didapati mempunyai dokumen perjalanan sah dan masuk ke negara ini sebagai pelancong.

Katanya, mereka diberi bayaran gaji bulanan antara USD1,500 hingga USD2,300 seorang bagi menggerakkan pusat panggilan berkenaan dan pelbagai barangan turut dirampas, antaranya lapan komputer riba, wang tunai pelbagai mata wang, telefon bimbit serta tiga kereta mewah termasuk Porsche bernilai RM550,000.

Sementara itu, Dzulkhairi berkata bagi sindiket penipuan dalam talian yang menawarkan jualan telefon bimbit, motosikal serta kereta pula, tujuh lelaki warga Indonesia berumur 21 hingga 41 tahun ditahan di sebuah apartmen di Jalan Tun Perak, di sini kira-kira 12.30 tengah hari pada 2 Sept lepas.

Beliau berkata kesemua suspek berkenaan menjalankan aktiviti penipuan itu di premis terbabit sejak tiga bulan lepas dan mereka menyasarkan mangsa dalam kalangan warga Indonesia menerusi media sosial Facebook dan aplikasi Telegram.

“Sindiket terbabit menawarkan telefon bimbit, motosikal serta kereta pada harga murah di media sosial Facebook dan mangsa berminat dihubungi suspek yang menyamar sebagai pegawai khidmat pelanggan.

“Mangsa kemudian akan diarahkan membuat bayaran pendahuluan ke akaun Bank Central Asia, Indonesia dan ShopeePay dipercayai milik ketua sindiket itu dan setelah bayaran dibuat, mangsa tidak menerima barangan serta komunikasi juga disekat,“ katanya.

Beliau berkata kesemua ahli sindiket itu masuk ke negara ini secara sah sebagai pelancong dan mereka menerima gaji bulanan antara RM1,000 hingga RM2,000.

Katanya, pelbagai barangan kes antaranya masing-masing tujuh komputer riba dan telefon bimbit dianggarkan bernilai RM25,000 turut dirampas untuk siasatan lanjut.

Kesemua yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 120B Kanun Keseksaan dan Akta Imigresen 1959/63 - BERNAMA