LAHAD DATU: Pasukan Polis Marin (PPM) menahan empat lelaki dan merampas 76,800 liter minyak sawit mentah dalam satu serbuan bersama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di sebuah premis di Batu 15, Jalan Lahad Datu di sini semalam.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah ACP Nazri Ibrahim berkata empat suspek berusia antara 29 hingga 53 tahun yang dipercayai terlibat dalam kegiatan penyimpanan minyak sawit secara haram itu ditahan pada pukul 11.40 pagi.
“Selain 76,800 liter minyak sawit mentah, pihak berkuasa turut merampas beberapa buah lori, tangki minyak serta tanker yang digunakan untuk menyimpan dan memindahkan minyak sawit itu.
“Anggaran keseluruhan nilai rampasan mencecah RM2.33 juta dan siasatan dijalankan di bawah Peraturan 5(1)(d) Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia 2005,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Nazri berkata kesemua suspek kini ditahan bagi membantu siasatan MPOB dan tindakan susulan akan diambil mengikut peruntukan undang-undang.
Beliau berkata PPM akan mempergiat operasi bagi menangani jenayah penyeludupan untuk memastikan keamanan serta kesejahteraan penduduk di Sabah.