KUCHING: Malaysia sekali lagi menegaskan komitmen teguh untuk memperkukuh kerjasama tenaga serantau dengan memberi penekanan terhadap aspek keterangkuman dan kemampanan, selaku Pengerusi Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN Mengenai Tenaga (ASEAN-SOME) ke-43 yang berlangsung di sini hari ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) Datuk Mad Zaidi Mohd Karli berkata tema yang dipilih Malaysia bagi semua libat urus sektor tenaga, iaitu “Powering ASEAN: Bridging Boundaries, Building Prosperity”, mencerminkan visi lebih luas Malaysia selaku Pengerusi ASEAN.

“Tema ini penting kerana ia menekankan keperluan terhadap tenaga serta semangat dinamik dalam menjana pembangunan rantau ini bagi memacu kemajuan ASEAN.

“Ia juga mencerminkan matlamat utama integrasi ASEAN, iaitu untuk meningkatkan kualiti hidup penduduknya melalui pertumbuhan ekonomi, penciptaan peluang pekerjaan serta memberi penekanan kepada keterangkuman dan kemampanan demi manfaat semua lapisan masyarakat,” katanya dalam ucapan pembukaan mesyuarat tersebut.

Beliau turut yakin bahawa perbincangan hari ini akan menghasilkan kemajuan yang ketara, selaras dengan Keutamaan Ekonomi Utama (PED) Malaysia dan Keutamaan ASEAN bagi 2025, khususnya melibatkan inisiatif utama seperti Memorandum Persefahaman Grid Tenaga ASEAN (APG) dan Terma Rujukan bagi Rangka Kerja Pembangunan Kabel Kuasa Dasar Laut.

“Usaha kolaboratif tersebut sudah pasti akan menjadi asas penting kepada Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN (AMEM) ke-43 yang bakal diadakan di Kuala Lumpur,” katanya.

Mesyuarat ASEAN-SOME ke-43 dan mesyuarat berkaitan bermula hari ini hingga 18 Jun, melibatkan kira-kira 250 delegasi termasuk pegawai kanan tenaga serta wakil Sekretariat ASEAN dan Pusat Tenaga ASEAN.

Kesemua 10 negara anggota ASEAN iaitu Malaysia, Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam mengambil bahagian dalam mesyuarat itu, manakala Timor-Leste hadir sebagai pemerhati.

Turut serta ialah rakan dialog ASEAN seperti China, Korea Selatan, Jepun, Rusia dan Amerika Syarikat, selain wakil daripada Agensi Tenaga Boleh Diperbaharui Antarabangsa (IRENA), Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), Institut Penyelidikan Ekonomi ASEAN dan Asia Timur (ERIA), Bank Pembangunan Asia (ADB) dan Bank Dunia.