DUBAI: Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pembangunan dua kabel bawah laut khas ke Semenanjung Malaysia dan Singapura untuk menyalurkan tenaga hidrokuasa sedang dalam perbincangan bagi memperluas penggunaan tenaga boleh baharu.

“Kami kini sedang berunding dengan kerajaan Persekutuan. Namun, persoalan pertama adalah sama ada kita mempunyai tenaga lebihan.

“Buat masa ini, kami memiliki tenaga lebihan yang boleh dikongsi dengan negara jiran. Kini, kami sedang berbincang dengan Singapura yang telah dipersetujui oleh kedua-dua perdana menteri (baru-baru ini),” katanya kepada pemberita selepas melawat Pavilion Malaysia pada Persidangan ke-28 Pihak-Pihak (COP28) Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) di sini.

Abang Johari berkata terdapat teknologi lebih baik bagi kabel bawah laut yang lebih murah, namun kompetitif bagi memastikan projek itu dapat direalisasikan.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan sebarang tempoh masa yang tertentu.

Kerajaan negeri sedang berusaha meluaskan kapasiti tenaga hidro untuk menjana 20 gigawatt (GW) tenaga, katanya.

Selain itu, beliau berkata pada masa ini kerajaan negeri juga berusaha menambah baik langkah menjana tenaga hidro menggunakan kaedah empangan lata berbanding takungan yang lebih sesuai untuk alam sekitar.

“Langkah ini telah dilaksanakan di Sweden dan ia telah mengeksport 40GW tenaga ke Eropah.

“Apa yang ingin kami lakukan pada masa ini adalah berkongsi dengan kawasan berhampiran, yang mana di peringkat domestik, pastinya dengan Malaysia. Selepas itu dengan Singapura dan Indonesia, dengan kami berkongsi satu projek hidro dengan Indonesia,“ katanya.–Bernama