SEREMBAN: Dua pengusaha premis kilang ditahan selepas disyaki terlibat menjalankan aktiviti peleburan bahan toksik tanpa kelulusan sejak lebih dua tahun lepas di Mukim Pantai, Jalan Jelebu di sini hari ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata lelaki warga tempatan berusia 30-an dan 50-an itu ditahan menerusi Op Toksik yang dijalankan kira-kira tiga jam bermula 9.30 pagi oleh pelbagai agensi termasuk polis, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Imigresen (JIM) negeri.

Beliau berkata semasa operasi itu empat premis di lokasi seluas tujuh hektar diperiksa dengan dua daripadanya disyaki beroperasi secara haram dan penyitaan menyeluruh di kawasan premis turut dijalankan.

“Premis ini didapati menjalankan aktiviti peleburan sisa bertoksik tanpa kelulusan JAS yang memberi kesan mudarat kepada alam sekitar dan kesihatan penduduk sekitar kawasan tersebut. Kesemua premis terletak kira-kira 50 meter (m) dari Sungai Linggi dan 400m dari Empangan Sungai Terip.

“Hasil pemeriksaan juga mendapati kesan pencemaran yang menyebabkan pokok di kawasan belukar sekitar 150m radius mati dan limpahan sisa toksik di sekitar kawasan premis serta sistem perparitan yang tidak baik,” katanya kepada pemberita selepas operasi di sini hari ini.

Beliau berkata pengusaha premis menjalankan kegiatan di kawasan yang tersorok bagi mengelakkan aktiviti itu dikesan agensi penguatkuasaan dan bahan buangan berjadual ini dipercayai dibawa masuk dari luar negara selain sisa buangan industri tempatan.

Menurutnya premis itu disiasat mengikut Seksyen 34A dan 34B Akta Kualiti Alam Sekitar 1974, Seksyen 127 Kanun Tanah Negara Akta 828, Seksyen 53 (1) Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian, Seksyen 70 Akta Jalan Parit dan Bangunan serta Akta Imigresen 1959/63.

Aminuddin berkata kerajaan negeri memandang serius isu melibatkan pencemaran alam sekitar sama ada air, udara mahupun tanah dan tidak sesekali berkompromi terhadap aktiviti tidak bermoral itu.

“Saya sedih melihat mereka lakukan perkara ini yang bukan sahaja merosakkan alam sekitar tetapi kesihatan penduduk kerana sisa buangan dilepaskan dan mengalir ke Sungai Linggi yang lebih 200,000 penduduk di Port Dickson dan Seremban menggunakan air itu sebagai sumber utama,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata turut ditahan 48 warga asing dari Myanmar, China dan Nepal termasuk bayi berusia empat bulan atas kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 iaitu tiada dokumen perjalanan sah, pas melebihi tempoh dan salah guna pas lawatan.

“Ini juga amat mendukacitakan saya kerana dalam kita menguatkuasakan kemasukan pekerja asing masih terdapat pengusaha yang menggunakan pekerja asing secara haram, saya harap JIM negeri ambil tindakan tegas,” katanya.