GEORGE TOWN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang telah menyerbu sebuah premis karaoke di pusat membeli-belah di sini atas disyaki pelanggaran hak cipta.
Operasi itu dilakukan pada 1 Julai lepas selepas menerima aduan daripada Music Authors’ Copyright Protection Berhad (MACP).
Menurut kenyataan MACP, premis tersebut disyaki mempersembahkan muzik berhak cipta secara terbuka tanpa lesen sah walaupun telah diberi amaran.
“Dalam serbuan itu, 13 peralatan telah dirampas termasuk televisyen, pembesar suara, mikrofon, penguat bunyi dan peralatan audio-video lain dianggarkan bernilai RM18,000,“ menurut kenyataan itu.
MACP menegaskan bahawa persembahan awam muzik berhak cipta tanpa kebenaran adalah kesalahan di bawah Akta Hak Cipta 1987.
“Pengusaha perniagaan yang memainkan atau mempersembahkan muzik berhak cipta dinasihatkan mendapatkan lesen MACP sah,“ kata mereka.
Operasi penguatkuasaan ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan MACP untuk melindungi hak cipta penulis lagu di Malaysia.
“Kami komited untuk memastikan hak cipta dihormati dan pelanggaran akan dikenakan tindakan tegas,“ tambah kenyataan tersebut.
MACP juga sedang menyiasat beberapa premis lain di seluruh negara yang disyaki melakukan pelanggaran serupa. - Bernama