SEPANG: Presiden Guinea-Bissau, Umaro Sissoco Embalo tiba di Malaysia hari ini untuk lawatan rasmi tiga hari di negara ini.

Pesawat yang membawa Embalo mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini pada 3 petang.

Sejurus tiba, beliau memeriksa kawalan kehormat terdiri daripada 28 pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat).

Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang juga menteri pengiring bagi lawatan itu menyambut ketibaan Embalo.

Kementerian Luar dalam kenyataan hari ini memaklumkan kunjungan ini ialah lawatan pertama Embalo ke Malaysia sejak beliau memegang jawatan presiden pada Februari 2020.

Presiden Embalo akan diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya, diikuti pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim esok.

Perbincangan akan tertumpu kepada pengukuhan hubungan dua hala, khususnya dalam perdagangan dan pelaburan, pertanian, pendidikan, dan pembangunan kapasiti serta bertukar-tukar pandangan berhubung isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.

Anwar kemudian akan meraikan Embalo dan delegasi terdiri daripada Menteri Perancangan Ekonomi dan Integrasi Serantau republik berkenaan Soares Sambú serta pegawai kanan Kabinet Presiden, pada jamuan makan tengah hari di Kompleks Seri Perdana.

Malaysia dan Guinea-Bissau menjalinkan hubungan diplomatik pada November 1974.

Hubungan kedua-dua negara kekal mesra, berteraskan komitmen bersama terhadap kerjasama di platform dua hala dan pelbagai hala, termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM).

Pada 2024, jumlah dagangan Malaysia dengan Guinea-Bissau mencecah RM4.1 juta, dengan eksport Malaysia ke Guinea-Bissau bernilai RM4.04 juta dan import sebanyak RM0.06 juta.