KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka lebih tinggi berbanding dolar AS pada Khamis dalam keadaan data ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang lemah daripada jangkaan dan ketidaktentuan tarif AS, kata penganalisis.

Pada 8 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.2410/2495 berbanding dolar AS daripada 4.2435/2490 semasa ditutup pada Rabu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Dolar AS (DXY) menyusut sebanyak 0.44 peratus kepada 98.787 mata berikutan petunjuk ekonomi yang lebih lemah berbanding jangkaan.

Beliau berkata Indeks Institut Pengurusan Bekalan (ISM) AS bagi sektor perkhidmatan susut di bawah 50 mata kepada 49.9 pada Mei, berbeza dengan anggaran konsensus 52.0 mata.

“Berdasarkan maklum balas tinjauan oleh ISM, tarif import merupakan punca utama ketidaktentuan dalam kalangan perniagaan kerana ia telah menaikkan harga bahan mentah, dan sesetengah pembekal menangguhkan inventori kerana ketidaktentuan tarif.

“Ini mungkin membawa kepada pengukuhan mata wang negara pesat membangun berikutan peniaga dan pelabur akan menilai semula kekuatan ekonomi AS.

“Sehubungan itu, data senarai gaji bukan ladang yang akan diumumkan pada Jumaat akan menjadi satu lagi petunjuk penting untuk dinilai,“ katanya kepada Bernama.

Beliau berkata mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan pada 16 hingga 17 Jun ini juga adalah satu lagi peristiwa penting berikutan kakitangan Rizab Persekutuan AS akan mengeluarkan unjuran makroekonomi terkini untuk tempoh tiga tahun akan datang.

Pada pembukaan dagangan, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia menyusut berbanding yen Jepun kepada 2.9705/9767 daripada 2.9444/9486 semasa ditutup pada Rabu, rendah berbanding euro kepada 4.8428/8525 daripada 4.8300/8362, dan susut berbanding pound Britain kepada 5.7466/7581 daripada 5.7427/7502 sebelumnya.

Mata wang tempatan itu juga kebanyakannya diniagakan lebih rendah berbanding mata wang ASEAN.

Ia kekal tidak berubah berbanding peso Filipina kepada 7.60/7.62, tidak mencatat perubahan seperti ketika ditutup pada Rabu.

Bagaimanapun, ringgit merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.2973/304 daripada 3.2906/2951 semasa ditutup semalam, rendah berbanding baht Thailand kepada 13.0132/0493 daripada 12.9679/9911, dan susut berbanding rupiah Indonesia kepada 260.2/260.8 berbanding 260.4/260.8 sebelumnya.