SINGAPURA: Presiden Indonesia Prabowo Subianto akan mengadakan lawatan negara pertamanya ke Singapura pada Isnin (16 Jun), menurut Kementerian Luar Singapura (MFA).
Prabowo, yang mengangkat sumpah jawatan pada Oktober tahun lalu akan diberi sambutan rasmi di Bangunan Parlimen dan mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Tharman Shanmugaratnam.
“Presiden Tharman akan menjadi hos bagi majlis jamuan negara sebagai penghormatan kepada Presiden Prabowo,” menurut MFA dalam satu kenyataan pada Ahad.
Presiden Indonesia itu juga akan bertemu Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Lawrence Wong sempena “Singapore–Indonesia Leaders’ Retreat”, yang pertama antara kedua-dua pemimpin dalam kapasiti semasa mereka.
“Sebagai platform tertinggi antara kedua-dua negara, “Leaders’ Retreat” tahunan ini merupakan bukti hubungan dua hala yang cemerlang serta ikatan peribadi yang kukuh antara para pemimpin kami,” menurut MFA.
Menurut kenyataan itu, kedua-dua pemimpin dijadual mengkaji semula kerjasama erat dan menyeluruh antara Singapura dan Indonesia serta merangka haluan masa depan hubungan dua hala.
Prabowo akan diiringi Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Airlangga Hartarto, Menteri Penyelaras Pemberdayaan Rakyat Muhaimin Iskandar, Menteri Luar Negeri Sugiono, Menteri Dalam Negeri Tito Karnavian, dan Menteri Undang-undang Supratman Andi Agtas.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli Bahlil Lahadalia, Menteri Perumahan dan Penempatan Maruarar Sirait, Menteri Pertanian Andi Amran Sulaiman, Menteri Pelaburan dan Industri Hiliran Rosan Roeslani, serta Setiausaha Kabinet Teddy Indra Wijaya turut menyertai delegasi itu.