SEOUL: Presiden Korea Selatan Lee Jae Myung pada Ahad berikrar melaksanakan reformasi pertahanan secara menyeluruh bagi membangunkan angkatan tentera pintar yang mampu melindungi negara daripada sebarang pencerobohan tanpa bergantung kepada jumlah anggota semata-mata, lapor Yonhap News.
“Memang benar isu populasi adalah serius dan sumber tenaga tentera dalam jangka masa terdekat tidak mencukupi, tetapi tiada keperluan untuk merisaukan keupayaan pertahanan hanya dengan membandingkan jumlah anggota tentera tetap,” tulis Lee dalam hantaran di akaun Facebook beliau.
“Lima puluh orang yang dilengkapi robot tempur berasaskan kecerdasan buatan (AI), dron berautonomi serta sistem peluru berpandu serangan dan pertahanan berketepatan tinggi mampu menentang puluhan ribu musuh,” kata beliau sambil menggesa peralihan kepada angkatan tentera pintar dan profesional dengan persenjataan teknologi canggih.
Membandingkan dengan keupayaan pertahanan Korea Utara, Lee menekankan bahawa Korea Selatan mempunyai 2.6 juta pasukan simpanan yang bersedia untuk dikerahkan pada bila-bila masa, selain menegaskan negara itu berada di kedudukan kelima dunia dari segi keupayaan pertahanan.
Lee turut menggesa peningkatan perbelanjaan pertahanan dan pembangunan tentera pintar, di samping memajukan industri pertahanan negara serta memperkukuh diplomasi keselamatan untuk membina sebuah negara yang tidak akan pernah ditakluk.
Beliau menegaskan keperluan mencapai keupayaan pertahanan berautonomi yang ampuh ketika dunia menuju ke arah konflik dan konfrontasi bersenjata selepas satu daripada tempoh terpanjang keamanan dan kewujudan bersama dalam sejarah manusia.
Lee pada masa sama menolak sikap “tunduk” yang menganggap keupayaan pertahanan itu tidak dapat dicapai tanpa sokongan angkatan asing - BERNAMA-YONHAP