• 2025-07-26 10:28 PM
Program Guru Tatchanai bimbing 800 pelajar India ambil STPM

Datuk Anbumani Balan - fotoBERNAMA

PETALING JAYA: Sejak dilancarkan tujuh tahun lalu, Program Guru Tatchanai berjaya membimbing lebih 800 pelajar India yang mengambil peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Inisiatif ini dikendalikan oleh 27 guru dan sukarelawan dari Persatuan Jaya Diri Negeri Johor serta Social I-Tenaga Association.

Setiausaha Sulit Kanan kepada Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Anbumani Balan, berkata lebih 250 pelajar berjaya melanjutkan pengajian ke universiti awam dalam pelbagai bidang. “Ini bukti bahawa apabila komuniti berganding bahu, tiada apa yang mustahil. Pendidikan bukan hak eksklusif golongan berada, ia milik setiap anak bangsa yang gigih berusaha,“ katanya.

Program ini mendapat sokongan penuh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R. Ramanan. Pada tahun ini sahaja, hampir RM200,000 insentif pendidikan telah disalurkan melalui kerjasama Yayasan Bank Rakyat dan agensi di bawah KUSKOP, melibatkan lebih 300 pelajar cemerlang.

Pengerusi Persatuan Jaya Diri Negeri Johor, Krishnasamy Muniandy, menyatakan penghargaan kepada Ramanan atas komitmennya. “Kami amat menghargai sokongan dan peruntukan yang diberikan. Ia bukan sekadar mengiktiraf pencapaian pelajar, malah menjadi dorongan moral besar,“ ujarnya.

Program Sathanayalar Santippu diharap dapat diperluas ke seluruh negara bagi memberi manfaat kepada lebih ramai pelajar. - Bernama