KUANTAN: Program MADANI Rakyat (PMR) 2024 Zon Timur di Dataran Sayangi Kuantan melabuhkan tirai hari ini dengan mencatatkan jumlah pengunjung tertinggi dalam tiga siri penganjurannya iaitu jumlah pengunjung melebihi 336,000 orang setakat 12 tengah hari tadi.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata jumlah itu meningkat jika dibandingkan dengan PMR Zon Tengah di Kuala Selangor pada Februari dan Zon Utara di Pulau Pinang pada Mei yang masing-masing merekodkan 151,638 dan 289,228 pengunjung.

Selain itu, beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata nilai transaksi jualan secara tunai dan padanan perniagaan yang direkodkan sejak Jumaat sehingga 12 tengah hari tadi berjumlah RM1.57 juta.

“PMR 2024 Siri Ketiga di Zon Timur ini telah mencapai impak bukan sahaja dari segi jumlah pengunjung dan nilai transaksi malah memberi persepsi positif bahawa rakyat di Pantai Timur menjadikan program ini sebagai platform untuk memahami, menilai dan melihat inisiatif dan dasar baharu Kerajaan MADANI dalam usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat,“ katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) selaku kementerian peneraju bagi PMR kali ini mengetengahkan elemen pembangunan usahawan desa dan padanan perniagaan sebagai platform dan peluang bagi usahawan untuk memasar, menjual dan memperkenalkan produk mereka kepada warga Pantai Timur.

Timbalan Perdana Menteri berkata PMR Zon Timur yang dianjurkan oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO) melalui unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dengan kerjasama strategik KKDW dan Kerajaan Negeri Pahang berkonsepkan ‘turun padang’.

Katanya ini menjadi wadah kerajaan untuk bertemu rakyat sebagai saluran komunikasi berterusan bagi mendengar sendiri masalah yang dihadapi mereka di samping memudahkan rakyat berurusan dan memperoleh manfaat yang disediakan oleh agensi kerajaan Persekutuan dan negeri dalam usaha membina negara yang lebih progresif selaras agenda Malaysia MADANI.

Program MADANI Rakyat Zon Timur merupakan kesinambungan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI yang diperluaskan penganjurannya ke peringkat negeri mengikut zon dan sesi PMR seterusnya di Zon Selatan di Johor Bahru pada 15 hingga 17 Ogos depan.

Open Two Websites with Image

Clickable Image