KOTA TINGGI: Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Air Tawar 1 di sini terpilih menerima peruntukan RM100,000 di bawah program Sekolah Angkat MADANI yang dilaksanakan melalui Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Ketua Pesuruhjaya APM Datuk Aminurrahim Mohamed berkata peruntukan itu bertujuan menaik taraf kemudahan asas sekolah, memperkasakan pembangunan sahsiah murid serta menjadikan institusi itu sebagai hab komuniti pendidikan luar bandar.

“Pemilihan sekolah ini pengiktirafan kepada keupayaan luar biasanya dalam melonjakkan potensi pelajar, walaupun berada di kawasan Felda,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan.

Beliau berkata pencapaian cemerlang sekolah dalam pelbagai bidang membuktikan sekolah luar bandar mampu menyerlah dan wajar disokong oleh semua pihak termasuk alumni dan sektor swasta.

Sekolah Rendah FELDA Air Tawar 1 sebelum ini mencatat beberapa kejayaan membanggakan termasuk tempat ketiga dalam Pertandingan Silat Peringkat Antarabangsa di Batam, Indonesia, pingat emas Kejohanan Taekwondo Peringkat Kebangsaan serta kemenangan dalam Pertandingan Rendah Karbon Peringkat Negeri Johor.

Program Sekolah Angkat MADANI ialah inisiatif strategik yang bertujuan mewujudkan kerjasama erat antara agensi kerajaan dan institusi pendidikan dan juga sebahagian daripada agenda nasional Kerajaan MADANI serta seiring dengan program Kampung Angkat MADANI.

Sementara itu, Guru Besar SK Felda Air Tawar Jamaliah Abdul Hamid menzahirkan penghargaan kepada APM atas pemilihan sekolah berkenaan, yang disifatkan pengiktirafan kepada keupayaan luar biasa sekolah itu dalam melonjakkan potensi pelajar walaupun berada di kawasan Felda.