• 2025-07-22 05:53 PM

KUALA LUMPUR: Seramai 60 ketua pelajar dari sekolah-sekolah di Perlis menjadi kumpulan pertama menyertai Program Sekolah Parlimen 2025 di Bangunan Parlimen hari ini.

Menurut kenyataan Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat Malaysia, program ini hasil kerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) bertujuan memberi pendedahan awal kepada pelajar sekolah menengah mengenai demokrasi berparlimen dan proses penggubalan dasar negara.

Antara objektif utama program ini adalah menggilap bakat kepimpinan pelajar, menanam semangat cinta kepada institusi negara, serta memupuk nilai integriti dan tanggungjawab sivik dalam kalangan generasi muda.

“Peserta akan terlibat dalam simulasi persidangan, lawatan berpandu, dialog bersama Ahli Parlimen dan pemimpin muda, serta aktiviti memahami fungsi Parlimen,“ menurut kenyataan tersebut.

Program ini dijangka melibatkan lebih 1,000 pelajar dari seluruh negara menjelang akhir tahun 2025.

Ia berlangsung secara berfasa dari 21 Julai hingga 4 Disember selaras dengan jadual penggal persidangan Dewan Rakyat.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul menyatakan program ini sebagai langkah reformasi Parlimen Malaysia bagi meningkatkan minat dan kefahaman golongan muda terhadap institusi legislatif negara. – Bernama