JASIN: Pelaksanaan program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) membuktikan komitmen Kerajaan Melaka dalam merakyatkan pentadbiran melalui pendekatan turun padang. Program ini memberikan hasil serta kebaikan kepada rakyat dengan menyelesaikan pelbagai isu tertangguh.
Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, suara rakyat diberikan perhatian sewajarnya oleh agensi dan jabatan berkaitan. “Ini selaras dengan agenda utama kerajaan negeri dalam merakyatkan pentadbiran. Kita tidak mahu lagi wujud tembok antara kerajaan dan rakyat,“ katanya semasa majlis penutup WRUR Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban.
Sepanjang dua minggu pelaksanaan WRUR di DUN Bemban, sebanyak 148 program berjaya dilaksanakan meliputi pelbagai aspek keperluan rakyat. Kerajaan juga menerima 106 aduan, dengan 92 isu berjaya diselesaikan manakala selebihnya masih dalam tindakan.
“Kejayaan ini hasil sinergi kuat daripada semua pihak termasuk pemimpin masyarakat, jabatan, agensi, GLC, dan NGO,“ jelas Ab Rauf. Program WRUR akan diteruskan di DUN lain bagi memastikan setiap isu rakyat diselesaikan hingga ke akar umbi.
Selain itu, kerajaan melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) memperuntukkan RM19.03 juta untuk tiga sekolah di DUN Bemban. Projek ini termasuk pembinaan bangunan gantian kantin dan dewan terbuka di SK Kesang Tua, serta makmal sains baharu di SMKA Tun Perak.