• 2025-07-04 10:50 AM

KLANG: Pulau Ketam kini menikmati akses internet yang lebih baik selepas siapnya Projek Stingray II pada November 2023. Inisiatif ini, hasil kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Telekom Malaysia (TM), telah membawa perubahan besar kepada lebih 6,000 penduduk pulau itu.

Projek ini melibatkan pemasangan kabel dasar laut sepanjang 34.58 kilometer, membolehkan capaian internet berkelajuan tinggi di Pulau Ketam. Richard Wang Kheng Hwa, wakil Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pulau Ketam, berkata kualiti internet kini jauh lebih stabil walaupun dalam cuaca buruk.

“Apabila internet stabil, peniaga mula menawarkan bayaran tanpa tunai, memudahkan urus niaga terutama bagi pelancong asing,“ katanya. Sektor pelancongan juga semakin berkembang dengan lebih 5,000 pengunjung pada hujung minggu.

Saslinawati Jali, pemilik Warung D’ Pulau, berkata internet yang lebih pantas membantunya meningkatkan jualan sate melalui jualan dalam talian. “Sebelum ini, pelanggan tidak banyak membawa wang tunai, tetapi sekarang mereka boleh bayar menggunakan QR,“ ujarnya.

Projek Stingray II juga membantu 245 pengguna internet berasaskan tembaga beralih kepada perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi Unifi. Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada agenda transformasi digital negara.