KUANTAN: Setiap kali hujan lebat, Yazi Samad, 66, dilanda resah dan matanya tidak lepas memandang Sungai Semantan yang terletak berhampiran rumahnya di Kampung Batu Kapor, Mentakab.
Rumah suri rumah itu yang didiami sejak 1974 selepas beliau berkahwin dengan anak jati kampung tersebut, hampir setiap tahun dinaiki air akibat limpahan Sungai Semantan hingga menyebabkan mereka dianggap ‘penghuni tetap’ pusat pemindahan sementara (PPS).
Sehubungan itu, Yazi amat berharap pihak terlibat dapat segera melaksanakan projek tebatan banjir di sungai tersebut supaya impak banjir dapat dikurangkan dan penduduk kampung boleh hidup dengan selesa.
“Sudah tidak larat sebenarnya untuk berpindah (setiap kali banjir)... dari muda sampai sudah bercucu masih berdepan masalah banjir. Pernah dalam setahun itu banjir berlaku lebih daripada sekali.
“Masa muda, kudrat masih kuat untuk berpindah sana sini, tapi bila sudah tua tenaga sudah tidak sekuat dahulu. Nasib baik anak-anak membantu,“ katanya ketika dihubungi kepada Bernama.
Menurutnya tebatan banjir amat diperlukan kerana banjir di kampungnya boleh menjadi sangat teruk seperti pada Disember 2021 yang menyaksikan rumah penduduk dinaiki air hingga ke paras bumbung.
“Ramai bertanya, kenapa tidak berpindah (jika tahu sentiasa banjir), tapi ke mana kami hendak pergi? Ini tanah kami, sudah dirikan rumah dan berharap dapat mewariskannya kepada anak cucu. Ini sahaja peninggalan yang mampu diberikan,“ katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada majlis peluncuran Ekonomi MADANI: Memperkasakan Rakyat baru-baru ini, memberi jaminan kerajaan akan segera melaksanakan projek tebatan banjir termasuk di Pahang bagi melindungi masyarakat setempat daripada bencana itu.
Sementara itu, Lydiawati Hassan Busry, 40, dari Mentakab yang pernah berhadapan bencana alam itu pada 2021 berkata usaha kerajaan menyegerakan projek tebatan banjir amat melegakannya.
Beliau berkata langkah positif kerajaan itu juga dapat mengelakkan rakyat daripada kerugian ribuan ringgit akibat bencana yang berlaku hampir setiap tahun.
“Kawasan kedai yang saya sewakan di bandar Mentakab sebelum ini tidak pernah dilanda banjir, tetapi pada tahun tersebut air naik hingga lima kaki dan merosakkan struktur kedai. Justeru, saya hargai inisiatif kerajaan dan berharap banjir buruk yang pernah kami lalui tidak berulang,“ katanya.
Suri rumah, Nor Jass, 54, dari Taman Tas Jaya, di sini pula berharap kontraktor yang dilantik dapat memainkan peranan dalam memastikan usaha murni kerajaan itu berjaya dengan menyiapkan kerja mengikut spesifikasi dan jadual yang ditetapkan. - Bernama