Your Title

IPOH: Polis meminta bantuan orang ramai untuk mengesan seorang wanita berusia 27 tahun yang dilaporkan hilang dari rumahnya di Jalan Keramat Pulai, Kampung Sinju dekat sini, Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata pihaknya menerima laporan kehilangan Nurziana Bah Nawar oleh ibunya di Balai Polis Simpang Pulai pada 8.14 malam, hari sama.

Beliau berkata orang hilang (OH) terbabit berkulit sawo matang, berbadan gempal serta berambut pendek berwarna hitam.

“Wanita itu disedari hilang dari rumah di Kampung Sinju sekitar 6 petang pada 4 Feb lalu oleh ibunya selepas naik semula ke rumah dari sungai berdekatan,“ katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sehubungan itu, beliau memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai wanita berkenaan untuk menyalurkannya kepada pihak polis dengan menghubungi pegawai kes SM Ahmad Zubir Alias di talian 016-4275733, Balai Polis Simpang Pulai di talian 05-3571222 atau mana-mana balai polis berhampiran.