PUTRAJAYA: Proses semakan keselamatan seperti merekod dan menyemak biometrik pelancong asing termasuk dari China dan India masih dilaksanakan di semua pintu negara, kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh.

Beliau berkata mana-mana pelawat yang disenarai hitam dan senarai syak akan dapat dikesan, seterusnya dilarang masuk ke negara ini.

“Pematuhan pengisian Kad Ketibaan Digital Malaysia (MDAC) kepada semua pengembara yang memasuki Malaysia masih dilaksanakan.

“Sistem MDAC merekod maklumat keberadaan pelawat dan membolehkan Jabatan Imigresen (JIM) mengesan keberadaan mereka sekiranya diperlukan terutamanya untuk tindakan penguatkuasaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

MDAC merupakan salah satu daripada lima inisiatif utama bagi penambahbaikan kemudahan perkhidmatan Jabatan Imigresen, selaras pelaksanaan Pelan Liberalisasi Visa (PLV) yang mengecualikan visa selama 30 hari kepada pelancong dari China dan India bermula 1 Dis lepas.

Ruslin berkata demikian sebagau merujuk kepada kekeliruan yang ditularkan oleh sesetengah pihak di media sosial berkaitan kenyataan mengenai pengecualian syarat kemasukan bagi warganegara China dan India di semua pintu masuk yang dikeluarkan kepada semua pejabat JIM.

Arahan itu bertujuan memperkemaskan proses kerja JIM di pintu masuk negara, selaras dengan pelaksanaan pemberian pengecualian visa bagi tempoh 30 hari kepada warganegara China dan India mulai 1 Dis 2023 hingga 31 Dis 2024. Kemudahan itu merupakan salah satu inisiatif yang diumumkan kerajaan di bawah PLV.

Ruslin menegaskan bahawa arahan yang dikeluarkan itu sama sekali tidak menjejaskan integriti dalam aspek keselamatan sedia ada yang dilaksanakan jabatan itu dalam pengurusan kemasukan pelancong asing ke negara ini.

“Jabatan Imigresen sekali lagi menegaskan tidak akan berkompromi terhadap aspek kawalan keselamatan dan terus komited melaksanakan usaha berterusan bagi memudahcara dan melancarkan pergerakan keluar masuk pelawat bagi menyokong pembangunan ekonomi negara,” katanya.