KUALA LUMPUR: Prosiding Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) tidak bermaksud setiap projek atau perolehan yang disiasat menghadapi masalah ketirisan, pembaziran, mahupun penyelewengan, menurut Pengerusinya Datuk Mas Ermieyati Samsudin.
Sebaliknya, beliau berkata PAC turut mempunyai peranan untuk melihat cadangan kepada sesuatu perolehan atau projek yang akan dilaksanakan kerajaan.
“Ini adalah peranan yang perlu dimainkan oleh PAC sebagai sebuah Jawatankuasa Pilihan Parlimen dan sebagai mekanisme semak imbang antara cabang Perundangan dan Eksekutif,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Menteri Pengangkutan Anthony Loke mempersoalkan kewajaran siasatan PAC berhubung perolehan kereta api elektrik (EMU) yang masih di peringkat perancangan dan tiada sebarang kontrak dimuktamadkan.
Mas Ermieyati berkata PAC berpandangan perolehan EMU ini perlu diperjelaskan lebih terperinci supaya rakyat mengetahui mengapa model pajakan selama 30 tahun bernilai lebih RM10 bilion dipilih kerajaan.
Beliau turut menjelaskan bahawa prosiding terhadap perolehan EMU itu bukan kali pertama untuk PAC memulakan prosiding dengan memanggil kementerian memberikan penjelasan sebelum kerajaan membuat sebarang keputusan termasuk menandatangani kontrak.
“Sebelum ini, banyak pihak yang memberikan tanggapan kepada PAC bahawa jawatankuasa ini sering terlewat memulakan prosiding berhubung isu perolehan atau tata kelola kewangan kerajaan sehinggalah ia bermasalah,” katanya.