GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang memandang serius isu penipuan dan eksploitasi durian tempatan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang menjual durian luar dengan jenama durian Balik Pulau.
Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi negeri Fahmi Zainol berkata semalam pihak pejabatnya bersama-sama Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pertanian, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) serta Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) telah mengadakan sekatan jalan raya bagi mengesan produk pertanian yang tidak mematuhi peraturan khususnya durian.
“Sekatan ini dilakukan disebabkan isu durian dari luar masuk Pulau Pinang dan segelintir peniaga tidak bertanggungjawab menjual durian luar dengan jenama durian Balik Pulau. Isu ini telah dikemukakan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri lepas.
“Sekatan ini sayur dan buah juga diperiksa bagi memastikan peniaga patuh kepada Peraturan GPL 2008 (Penggredan, Pembungkusan and Pelabelan) di bawah Akta 141 FAMA dan semalam tiga notis kesalahan berkaitan GPL telah dikeluarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Fahmi berkata sekatan jalan raya yang dilakukan pada 8 hingga 11.30 malam tadi adalah kali pertama di negeri itu dan akan dilakukan pada masa hadapan di lokasi berbeza bagi menunjukkan komitmen kerajaan negeri dalam melindungi petani dan pengguna.