• 2025-07-18 08:43 PM

GEORGE TOWN: Kerugian akibat jenayah siber di Pulau Pinang mencecah RM112.9 juta dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, menunjukkan peningkatan ketara berbanding tahun sebelumnya.

Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, angka tersebut meningkat sebanyak RM42.9 juta berbanding RM70.1 juta yang direkodkan pada tempoh sama tahun lepas.

“Bagi tempoh Januari hingga semalam, polis Pulau Pinang berjaya melaksanakan lapan serbuan ke atas sindiket pusat panggilan dan menahan 75 individu termasuk 24 wanita, terdiri daripada 39 warga tempatan dan 36 warga asing,“ katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang hari ini.

Mohd Alwi menasihati orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan panggilan, mesej, atau tawaran mencurigakan.

Sebaliknya, pengesahan dengan pihak berkuasa perlu dilakukan sebelum mengambil sebarang tindakan.

Selain jenayah siber, polis sedang menyiasat sindiket along yang dipercayai mengupah dua lelaki berusia 20-an berhubung insiden kebakaran tiga rumah teres di Tasek Gelugor pada 24 Jun lepas.

Polis juga sedang memburu dua suspek yang melepaskan tembakan ke arah sebuah kereta pacuan empat roda di hadapan sebuah sekolah rendah di Sungai Nyior pada 1 Julai lalu. - Bernama