• 2025-09-19 04:50 PM

GEORGE TOWN: Kerajaan negeri mewartakan kadar baharu cukai tanah berkuat kuasa mulai 1 Jan 2026 melibatkan hampir 370,000 hak milik tanah di Pulau Pinang, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Chow berkata kadar baharu itu diluluskan Majlis Tanah Negara 2024 dan semakan semula hanya akan dibuat pada setiap 10 tahun.

Menurutnya peratusan kenaikan bagi kategori perumahan untuk desa berjumlah 127.27 peratus dan bagi bandar 29.63 peratus manakala kategori perindustrian untuk bandar kenaikan melibatkan 151.94 peratus dan desa 200.93 peratus.

“Pewartaan itu dibuat di bawah Seksyen 101 Kanun Tanah Negara (Akta 828) melalui Warta Kerajaan Negeri Pulau Pinang No. 37 bertarikh 11 Sept, namun semakan cukai tanah tersebut tidak melibatkan 300,000 akaun Cukai Petak Strata dan mereka akan terus membayar cukai petak strata mengikut kadar sedia ada.

“Kadar cukai kediaman akan dinaikkan daripada RM0.54 kepada RM0.70 satu meter persegi dengan bayaran minimum RM70 setiap lot bagi semua tanah-tanah di bandar contohnya di Jelutong, Tanjong Bungah, Bayan Lepas, Bayan Baru, Balik Pulau, Seberang Jaya, Bukit Mertajam, Bertam, Batu Kawan dan lain-lain,“ katanya pada sidang akhbar di Komtar hari ini.

Chow berkata bagi tanah desa pula, kadar cukai untuk kediaman akan dinaikkan daripada RM0.22 kepada RM0.50 satu meter persegi dengan bayaran minimum RM50.00 setiap lot dan pemilik tanah kediaman yang berkeluasan kurang daripada 100 meter persegi akan membayar kadar cukai minimum RM7 setahun di kawasan bandar atau RM50 setahun di desa.

Katanya kadar minimum itu termasuk rumah kos rendah, rumah kos sederhana rendah dan sebahagian skim Rumah Mampu Milik atau Rumah Mutiaraku di Pulau Pinang yang berkeluasan kurang daripada 100 meter persegi.

“Bagi tanah kategori perindustrian, kadar baharu cukai tanah dinaikkan daripada RM1.29 kepada RM3.25 satu meter persegi tanpa mengira kawasan bandar atau desa manakala kadar untuk perniagaan pula dinaikkan kepada RM3.25 satu meter persegi di bandar dan RM2.80 satu meter persegi di desa dengan bayaran minimum antara RM280 sehingga RM325 bagi keluasan tanah kurang daripada 100 meter persegi.

“Bagi kategori tanah pertanian, kadar cukai tanah bagi tanaman padi sebagai contoh akan dinaikkan kepada RM15 satu hektar, tanaman kelapa sawit (RM99), getah (RM75), buah-buahan (RM80) dan tanaman kontan seperti keledek, jagung dan sayur-sayuran dinaikkan kepada RM40 satu hektar, ini bermakna pemilik-pemilik tanah pertanian kecuali durian akan membayar kadar cukai minimum serendah RM15 setiap satu hektar mulai 2026,“ katanya.

Katanya kerajaan negeri juga telah memperkenalkan kadar baharu untuk tanaman durian iaitu RM800 bagi setiap satu hektar atau sebahagian daripadanya manakala untuk ternakan babi, unggas, ruminan dan akuakultur, kenaikan yang baharu adalah antara RM250 hingga RM750 untuk keluasan sama.

Chow berkata beberapa kategori baharu turut diperkenalkan di bawah kadar istimewa, antaranya padang golf ialah RM2,500 setiap satu hektar, RM3.25 satu meter persegi untuk kuari, RM0.54 satu meter persegi untuk semua tanah milik kerajaan Persekutuan di bawah pegangan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan dan kadar nominal RM50 setiap lot bagi tanah-tanah masjid, rumah ibadat bukan Islam (RIBI) dan kubur.

Katanya kerajaan negeri turut memperkenalkan kadar baharu untuk rumah kampung iaitu RM50 setiap lot dan kadar itu diperkenalkan bagi membantu pemilik-pemilik kediaman dalam kategori tersebut membayar kadar yang minimum serta tidak membebankan walaupun keluasan tanah milik mereka adalah melebihi 100 meter persegi.

“Bagi tanah tanah “first grade, Condition A, B dan C” yang tidak dinyatakan kategori dan syarat nyata, kadar cukai yang akan dikenakan adalah berdasarkan kepada kegunaan semasa dan keputusan itu akan menyaksikan lebih 200,000 hak milik tanah tersebut akan perlu membayar kadar cukai berdasarkan kegunaan semasa atas tanah.

“Keputusan itu juga akan dapat menyelesaikan isu ketirisan hasil cukal kerajaan negeri selama hampir 60 tahun selain memastikan keadilan dan kesamarataan kepada semua pemilik dan pembayar cukai tanah di Pulau Pinang,“ katanya.

Menurut Chow, bagi mengurangkan impak dan bebanan kewangan kepada semua pemilik tanah, satu mekanisme rebat bayaran cukai kepada semua pemilik tanah sebanyak 32.5 peratus dilaksanakan pada 2026 diikuti rebat sebanyak 20 peratus pada 2027 dan 2028.

Beliau berkata selain itu, insentif lain termasuk pengecualian bayaran denda ke atas tunggakan cukai tanah dan cukai petak sebanyak 100 peratus mulai 1 Januari 2026 sehingga 31 Disember 2026 - Bernama