KOTA KINABALU: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu usaha menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir dan tanah runtuh di Sabah serta membaik pulih kerosakan infrastruktur di negeri itu dilakukan segera.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata kerja-kerja memperbaiki kerosakan infrastruktur bangunan dan jalan raya akibat bencana alam itu dipercepatkan tanpa mengikut proses biasa.
Ia termasuk membina bangunan baharu Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh baru-baru ini.
“Saya tak mahu ikut proses biasa kerana banjir dan kerosakan ini bukan proses biasa. Kalau kita buat proses biasa, nak siapkan jalan, kemudahan (ambil masa) terlalu lama.
“Oleh itu, kita dah minta supaya proses itu dipercepatkan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi tanah runtuh di IPG Kampus Gaya di sini, hari ini, diiringi Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor- Bernama